KOTA TINGGI — Barisan Nasiaonal (BN) bertekad membawa perubahan politik di Sabah apabila menampilkan lebih 30 peratus calon muda pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu mencerminkan keseriusan parti dalam memberi peluang kepada generasi baharu untuk memimpin dan memacu kemajuan negeri tersebut.
"Muka-muka baru sesuatu yang sangat-sangat wajar, itu menunjukkan bahawa BN sangat serius untuk membawa perubahan juga untuk memberi peluang kepada calon-calon baharu, muda yang mampu membawa kemajuan yang lebih baik kepada Sabah.
"Lebih penting Sabah atau mana-mana negeri jika hendak dibangunkan dengan baik perlu ada hubungan yang rapat dengan kerajaan pusat," katanya
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Peluncuran Sekolah Angkat Madani di Sekolah Kebangsaan Felda Lok Heng, di sini pada Isnin.
**media[3335889]**
Pada Ahad, BN Sabah mengumumkan 41 calon untuk bertanding di 41 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN17.
Kesemua calon diumumkan oleh Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam satu majlis pengumuman di Bangunan UMNO.
Katanya, lebih 30 peratus calon yang diumumkan mewakili golongan muda membuktikan kepentingan BN memperkasa penglibatan generasi ini dalam membawa suara anak muda dalam pertahankan kerajaan negeri.
Dalam pada itu, mengulas mengenai peletakan jawatan Datuk Ewon Benedick sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Mohamed Khaled menegaskan perkara itu tidak akan menjejaskan sokongan terhadap BN.
“BN bertanding dan meletakkan calon atas asas parti sendiri. Ia tidak ada kaitan dengan mana-mana parti lain.
"Peletakan jawatan itu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), jadi saya percaya ia tidak menjejaskan kedudukan atau sokongan terhadap BN,” katanya.
Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata, pelbagai bentuk kempen dan isu pasti dibangkitkan dalam PRN Sabah, namun BN sentiasa bersedia menghadapinya.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, soal siapa yang bakal menjadi poster 'boy' BN bagi PRN Sabah masih belum diputuskan dan perkara itu akan diumumkan oleh Pengerusi BN, Datuk Dr Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November ini sebagai tarikh PRN17 bagi negeri Sabah dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November, manakala hari mengundi awal pada 25 November.
PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.